Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Anok Shamsioh kena rasuk," kata Mok.

Sejak kecil Mok tak pernah melayan cerita-cerita magis Melayu. Mok orang praktikal. Di rumah kami, tidak pernah datang cerita-cerita kena sihir, guna-guna atau pun yang sewaktu dengannya.

"Jangan mempedo’oh," kata Mok kalau ada orang datang menjaja cerita yang sedemikian rupa.

Hari itu - lama dulu - kami ikut Mok ke rumah Shamsiah. Keluarga Shamsiah adalah antara keluarga paling miskin di kampung kami.

Shamsiah budak pandai, dan kadang-kadang apabila benak kami sudah sampai ke kemuncak, Mok akan menyuruh kami ke rumahnya untuk ditunjuk ajar.

Memang pun Shamsiah budak cerdik dan dia kemudian memegang jawatan besar dalam kerajaan.

Kami juga ada masanya diajar cara-cara sembahyang oleh Mak Cik Badar, iaitu mak saudara Shamsiah yang tinggal bersama mereka.

Semasa di kampung, Mak Cik Yah - yakni ibu kepada Shamsiah - adalah kawan rapat Mok. Kami ke rumah dia yang waktu itu terletak di sebuah kuarters dikhaskan untuk penjawat awam yang berjawatan tinggi.

Perlis seperti terkecuali

Tiba di rumah tersebut, kami lihat ada seorang gadis remaja sekitar 14 atau 15 tahun sedang meracau. Habis semua orang dihamunnya. Dia juga kelihatan agak agresif.

Kalau kami mahu bercakap pandai, kami akan katakan yang orang Kuantan tidak begitu teruk 'gilanya' kepada kerja-kerja mistikal.

Untuk hal mereka yang tinggal daerah lain di Pahang itu, kami tidak tahu.

Walaupun tinggal di tepi laut, kami tidak pernah tahu akan adanya upacara puja pantai seperti yang selalu dilakukan oleh orang Terengganu suatu masa dulu.

Kami juga tidak pernah kenal mandi Safar seperti yang dilakukan oleh orang Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak, misalnya.

Semenjak tinggal di Negeri Sembilan, kami dapati mereka juga terkesan dengan hal-hal yang sedemikian.

Namun yang mungkin boleh dikatakan baik ialah apabila mereka serius dalam bahagian amalan Islam yang digelar orang sebagai kesufian.

Negeri Sembilan adalah negeri yang mesra amalan tarekat.

Dengan mengambil risiko disantet, kami mengatakan bahawa orang Perak sangat-sangat setuju dengan apa pun hal-hal santau, sihir dan yang sewaktu dengannya.

Dan hal-hal mistikal ini bukan terkhusus kepada orang Melayu saja.

Gambar hiasan

Orang Cina mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap untung nasib. Ia dinamakan feng shui. Masyarakat India pula akan selamanya dikaitkan dengan amalan-amalan mistik.

Agak menarik apabila Perlis - yang bersempadan dengan Siam dan sering difitnah sebagai pendukung utama hal-hal mistik itu - seperti terkecuali daripada amalan-amalan puja dan sebagainya.

Berkat mahalnya harga harumanis barangkali.

Kita terbiasa dengan cerita-ceriti akan berkuasanya minyak cenuai, tentang bisanya tulang babi bagi melingkupkan saingan dalam perniagaan serta seribu macam lain kisah yang entah di mana benarnya.

Dalam bab minyak cenuai, kami  kurang percaya. Kami yang serebeh ini menjadi bukti hidup bahawa tanpa minyak pengasih tersebut pun mampu macam-macam. Ahaks.

Minta didoakan sembuh

Manakala dalam hal tulang babi pula, didapati bahawa kebanyakan peniaga babi adalah kalangan mereka yang kaya-raya.

Kemudian datang pula cerita perniagaan tidak laris kerana diguna-guna orang sedangkan sewaktu melayan pelanggan, bukan saja muka kamu masam, ketiak kamu pun tidak kurang kepamnya.

Kebetulan kami ini jenis manja, maka sekali dimasamkan, seribu kali kami tak datang dah!

Masak sesedap mana pun - jika pelanggan kamu anggap sebagai musuh dan menyusahkan - tampallah ayat apa pun, kedai kamu akan kekal suram seperti kuburan.

Tidak, tulisan ini bukan mengenai hal merenjis kereta baru yang tular itu. Kami jadi teringat akan kisah anak si Shamsiah apabila cerita tersebut diperkatakan orang.

Kami juga tidak mahu ikut campur dalam urusan yang tidak kami ketahui itu.

Di India, terutamanya di tangga-tangga masjid, kamu akan dapati ramai orang susah dan sakit beratur menunggu para musafir. Selain minta belanja, mereka juga akan minta didoakan agar sembuh daripada segala macam penyakit dialami.

Mereka percaya pada keberkatan orang yang berkelana. Lalu siapa saja yang kelihatan seperti orang asing akan dihampiri dan diminta doanya.

Kami yang huru-hara ini pernah juga berpura-pura menjadi pemberi berkat hanya untuk memberikan rasa senang orang yang meminta itu.

Orang alim mungkin juga begitu. Setelah kamu sua dengan segala macam air dan tepung tawar, apa lagi pilihan yang dia ada selain melayan kerenah kamu?

Dan minta didoakan keselamatan dunia dan akhirat oleh mereka tentu saja sedikit lebih baik berbanding meminta dilakukan apa juga upacara yang kita takut akan mengundang masalah.

Dan lagi, kami juga rasa tidak adil apabila kamu hanya minta didoakan keselamatan Alphard sedang jika kamu membeli Saga BLM terpakai, tak ada pula kamu sibuk memanggil orang alim untuk berbuat perkara yang serupa.

Gamar hiasan

Budak perempuan yang tadinya kedengaran memaki hamun dan meracau seolah-olah sedang dirasuk segera diam apabila melihat Mok.

Mok semasa masih muda agak garang. Ini diakui oleh semua jiran kami. Apabila Mok ada di rumah tidak ada seorang pun yang berani mengajak kami ke padang.

Namun setelah sedikit berusia, Mok disukai oleh semua orang terutama mereka yang masih muda. Kanak-kanak tidak mengira anak siapa memanggilnya sebagai Tok.

Anak Shamsiah ini memang rapat dengan Mok. Sekilas terpandang akan Mok, dia akan segera menghulurkan tangan untuk bersalam. Diciumnya tangan dan kedua belah pipi Mok.

Dan kelihatan seperti segera sembuhlah dia daripada segala macam gangguan. Dia tidak lagi meracau berbuat onar sehingga kami pulang.

Di dalam hati kami mengatakan bahawa budak perempuan tersebut cuma buat-buat dirasuk.

Perempuan apabila tak menang akan berlakon diganggu makhluk lain, sedangkan sebenarnya mereka itu sendiri adalah pengganggu makhluk. Ahaks.

Seluruh keluarga Mak Cik Yah sudah meninggal dunia. Bermula dengan Pak Hassan suaminya, dan kemudian Mak Cik Yah dan Mak Cik Badar.

Shamsiah pula meninggal sebelum sempat bersara manakala Mat Diah - abang sulungnya - meninggal beberapa tahun setelah bersara.

Mie Gondok anak paling bongsu Mak Cik Yah pula meninggal pada usia sekitar 40-an.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang pernah direnjis beberapa kali.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS