Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dan sekolah vernakular: MP k'jaan sanggah Ahmad Fadhli
Diterbitkan:  May 6, 2024 4:35 PM
Dikemaskini: May 7, 2024 2:57 AM

Ahli Parlimen PH hari ini tampil mengingatkan PAS betapa parti itu memang pernah menentang sistem sekolah vernakular, sekali gus menyanggah dakwaan ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata dia terkejut membaca kenyataan Ahmad Fadhli yang mendakwa PAS tidak mempunyai sebarang isu dengan sekolah vernakular, dan mengaku parti berkenaan tidak pernah menentang sekolah berkenaan.

Memberikan beberapa contoh, Lee berkata, kenyataan dibuat Ahmad Fadhli itu sebenarnya bercanggah dengan kenyataan.

"Berbeza dengan PAS yang sering kali bercakap berbelit-belit dan menggadai prinsip perjuangan mengikut kesesuaian politiknya, PH - apa lagi DAP - dari dulu konsisten dalam isu sekolah vernakular.

"Walau semasa bersama dengan PAS, kami tetap kekal menentang mana-mana gesaan memansuhkan sekolah vernakular," katanya dalam kenyataan media yang turut menampilkan beberapa laporan media mengenai penentangan PAS terhadap sekolah vernakular.

Antaranya laporan yang memetik kenyataan Dewan Muslimat PAS pada 2019 yang mendesak kerajaan PH ketika itu menghapuskan sistem pendidikan vernakular.

Alasan sayap PAS itu, kewujudan sekolah vernakular didakwa tidak mendekatkan jurang persefahaman antara kaum.

Pada 5 Mei lalu Malaysiakini melaporkan kenyataan Ahmad Fadhli semasa berkempen di Kuala Kubu Bharu. Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa PAS tidak pernah menentang kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Sebaliknya, kata Ahmad Fadhli PAS hanya meminta beberapa pembaharuan dibuat terhadap sekolah aliran berkenaan.

"PAS tak pernah menentang sekolah vernakular bahkan kami menyatakan sekolah vernakular boleh wujud tetapi dengan beberapa pembaharuan.

"Pembaharuan itu kita boleh bincang dari segi sudut kurikulum dan sebagainya dan apa yang dicadangkan oleh pakar-pakar akademik.

"Bagi kita sekolah vernakular tidak ada isu," katanya kepada pemberita di ceramah kelompok Taman Ampang Pecah.

Usaha tambah baik dibuat

Lee berkata pengundi di Kuala Kubu Bharu mesti berwaspada dengan kata-kata yang "putar-belit" pemimpin PAS dan PN yang kononnya mahu menjaga kepentingan orang bukan Melayu demi mendapatkan undi mereka pada 11 Mei ini.

Dia turut melampirkan kenyataan media dibuat Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, yang menyokong pendirian dibuat Pemuda PAS Kampar yang bersolidariti dengan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan PKR Kelantan Rosli Allani Abdul Kadir berkata dengan bukti yang ada menunjukkan Ahmad Fadhli semata-mata berusaha mahu menarik undi di Kuala Kubu Bharu.

Bahkan, kata Rosli, cubaan tersebut sebenarnya gagal dan hanya memakan diri PAS.

"Sebagai seorang yang pernah dekat dengan Almarhum Nik Abdul Aziz (Nik Mat), dia (Ahmad Fadhli) seharusnya lebih dekat dan seiring dengan lunaknya tok guru yang pernah membenarkan cucunya berkolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Peir Chih di Kota Bharu," jelasnya.

Malah menurut Rosli, dia sendiri ada pengalaman mengikuti pembelajaran di sekolah vernakular selama 11 tahun.

"Saya tidak melihat apa pun yang dianggap kelemahan yang dicanangkan itu, dan saya yakin pelbagai usaha dibuat kerajaan dalam menumpukan perpaduan kebangsaan dan kualiti pendidikan kebangsaan secara adil dan saksama," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS