Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Tuhan, tolong aku hadapi next raya," kata sebuah lagu, sementara yang lain pula mengatakan "I’m the best that you ever had."

Kedua-dua lagu tersebut adalah nyanyian artis tempatan.

Semasa remaja, kami selalu kagum kepada para penyanyi dari Singapura apabila datang kepada hal memperkatakan lirik yang mereka hasilkan.

Kumpulan rock Rusty Blade misalnya, kuat mempromosi jati diri melayu. Lagu mereka seperti Jasa Tok Janggut, Taming Sari dan juga Ikrar Pewira asyik menceritakan kisah-kisah kegemilangan bangsa yang satu itu.

Sementara Ramli Sarip dan M Nasir pula tidak perlu kita persoalkan akan kegilaan mereka dalam mempromosi semangat bangsa dalam lirik dan lagu masing-masing.

Kemudian dari itu datang pula Loloq yang memberi definisi baru dalam penulisan lirik yang membangkitan semangat.

Sebagai penduduk negara yang tak maju-maju, kami sedikit hairan pada waktu itu apabila mereka yang datang dari negara dunia pertama masih asyik bercerita mengenai sejarah silam.

Mereka juga kelihatan seolah-olah bersungguh-sungguh melakukannya.

Masa lampau yang berjaya

Kami melihat ia sebagai sesuatu yang ajaib. Mana mungkin - menurut kami - mereka yang sudah berjalan jauh ke hadapan masih mahu menangisi kegemilangan semalam.

Kemudian baru kami faham bahawa segala rintihan seniman dari Temasik itu berpunca daripada rasa kehilangan yang teramat sangat.

Melayu hanya jadi satu dari beberapa bangsa di sana, manakala segala keagungan mereka tidak diambil peduli oleh sesiapa.

Semua itu kekal menjadi selingan apabila datang pada acara-acara yang memerlukan sedikit penampilan persefahaman antara penduduk pulau tersebut.

Semua aksi mereka dijadikan tempelan sebagai usaha mempamerkan muhibah.

Orang Melayu di sana seolah-olah kesal dan kerana itu mereka sentiasa akan sibuk mengingati masa lampau yang lebih berjaya pada pandangan mereka.

Melayu di Pulau Keeling di Australia juga sama. Yang berbeza ialah, anak muda Melayu di Pulau Keeling tidak mabuk bertatu seperti anak muda di Kota Singa.

Cuma apa yang sedikit membanggakan ialah apabila republik berkenaan masih setia menggunakan bahasa melayu untuk lagu kebangsaan mereka, Majulah Singapura.

Tidak seperti di tempat kita apabila seorang pengacara radio berbahasa Inggeris pernah mencadangkan agar Negaraku diubah kepada bahasa Inggeris bagi memberi muka kepada rakyat Malaya yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Ini adalah cadangan yang kurang ajar pada pendapat kami.

Kami bukanlah antibahasa Inggeris. Sementelah pula kami ini dibesarkan di zaman Big Blue Marble. Malah kami ada pan pal dari serata dunia pada waktu itu.

Tambahan pula kami ini bermimpi pun dalam bahasa Inggeris!

Kami juga boleh faham mengapa Rusty Blade, M Nasir serta Ramli Sarip begitu romantis jika bercakap soal bahasa dan bangsa Melayu dalam lirik-lirik yang mereka hasilkan.

Mereka itu kemudiannya menjadi legenda yang kita raikan.

Yang kami tidak faham ialah apabila penulis lirik musim baru sekarang ini sibuk menggabungkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam satu lagu.

Asal bibir tebal sikit dah rasa macam Jay-Z. Hisap ganja dua tiga dapur dah perasan nak jadi Snoop Dogg.

Apa yang mereka harapkan apabila mereka melakukannya? Apakah mereka berharap untuk menembusi pasaran antarabangsa?

Jika itu yang diharapkan maka pertama-tama yang harus mereka lakukan ialah menembusi siaran radio berbahasa Inggeris tempatan.

Bertambah tua 20 tahun

Ini tentu saja kerja yang sukar kerana stesen radio berbahasa Inggeris tempatan - waima yang duduk di dalam jabatan kerajaan sekalipun - tidak pernah mengambil serius akan lagu-lagu berbahasa Inggeris yang dihasilkan seniman tempatan.

Kita ada Azmyl Yunor yang sangat blues itu misalnya, atau beberapa lagi penyanyi yang menghasil lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Kecuali satu, hampir semua radio berbahasa Inggeris tidak pernah memainkan lagu-lagunya.

Lirik lagu raya yang kami abadikan di atas tadi kami anggap sebagai ‘pariah’ kerana sepatah perkataan yakni “next” itu. Keseluruhan lagunya boleh dikatakan sederhana dan tidak mendatangkan marah.

Namun sejurus mendengar perkataan tersebut diselitkan dalam lirik yang keseluruhannya berbahasa Melayu itu, kami bertambah usia 20 tahun.

Kami jadi orang tua yang selalu marah-marah apabila melihat kebodohan dan kegelojohan remaja yang baru mengenal dunia ini.

Kemudian - juga sebagai orang tua, dan Melayu pula - kami membaca lirik “the best that you ever had” sebagai lirik berzina.

Kamu boleh saja tidak bersetuju namun kami akan bertegas mengatakan bahawa lirik tersebut tidak sepatutnya disiarkan di mana-mana terutama di stesen radio arus perdana.

Lalu kegusaran yang dibuat-buat mengenai papan tanda yang bercampur bahasa itu adalah sesuatu yang amat membosankan.

Kita sudah terlalu lama membiarkan pembuat papan tanda, penulis lirik lagu dan semua yang bertanggungjawab atas bahasa menjadi mua.

Lantas mereka berasa bebas untuk menukangi bahasa Melayu sesuka hati mereka.

Kerana Ka Siong

Maka kita semua sepatutnya reda dengan apa yang terjadi kepada bahasa Melayu. Tidak perlu lagi kita marah-marah apabila mereka yang mengaku sebagai rakyat tetapi tidak fasih bahasa rasmi negara ini.

Ini adalah natijah daripada apa yang kita usahakan. Atau sebenarnya, sesuatu yang tidak kita usahakan sejak dari mula lagi.

Kita nanti akan jadi sepertimana yang terjadi kepada orang Melayu Singapura: merintih kehilangan sesuatu yang sepatutnya kita pertahankan.

Cuma yang baik bagi Melayu Singapura adalah kerana mereka itu minoriti. Kita pula yang memegang tampuk pemerintahan terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa apa yang lebih penting.

Perdana menteri mungkin mahu bergaya apabila menggunakan perkataan-perkataan yang ranggi dalam setiap syarahannya.

Namun ia menjadi tidak penting apabila ah soh atau anne yang dilahirkan di negara ini langsung tidak faham apa yang dikatakannya.

Dan kerana itu juga, setelah lama menjadi ‘kuda DAP’ (uhuk!), kami terasa ingin menyokong MCA sekarang hanya kerana petahnya Wee Ka Siong berbahasa Melayu.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang gemar mentafsir lirik lagu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS