Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Empat pemimpin Pakatan, dua di Perak dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout 505'.

Setiausaha Pakatan negeri Ong Eu Leong yang didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 9 (1) akta berkenaan kerana didakwa gagal memaklumkan polis dalam tempoh 10 hari sebelum menganjurkan perhimpunan di Batu Kawan pada 11 Mei.

Di Mahkamah Sesyen Ipoh, MP DAP Ipoh Timor Thomas Su juga mengaku tidak bersalah apabila pendakwaan sama dibacakan ke atasnya behrubung perhimpunan di Dewan Wisma Chin Woo, Ipoh pada 9 Mei.

Sementara itu, pemimpin PKR Perak Mohammad Anuar Zakaria juga didakwa mengikut sama berhubung satu lagi perhimpunan di Ipoh pada 11 Mei.

Dalam kes Su dan Anuar, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 untuk setiap tertuduh, dengan seorang penjamin, dan menetapkan 19 Julai untuk sebutan kes.

Di Mahkamah Sesyen Butterworh, Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan kes.

Timbalan pendakwa raya Amer Hamzah Othman sebelum itu memohon agar mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Ia dibantah peguam Ong, RSN Rayer yang berkata tiada peruntukan untuk mengenakan jaminan ke atas anak guamnya itu, memandangkan Ong diminta hadir ke mahkamah dan bukannya ditahan.

Katanya, Ong telahpun memenuhi permintaan tersebut dengan hadir ke mahkamah hari ini.

Ong diwakili enam lagi peguam, Ong Chin Wen, N Murali, Murali Ram, Lim Boon Beng, Jason Khor dan Ong Yiu Shin

Di Negeri Sembilan, ketua AMK negeri Nazree Yunus didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban mengikut peruntukan sama berhuung perhimpunan di Seremban pada 17 Mei.

Nazree, seperti juga tiga yang lain, meminta dibicarakan atas dakwaan tersebut.

Di sebelah petang pula, setiausaha eksekutif PKR Johor R Yuneswaran didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru berhubung berhimpunan di Tebrau, Johor Bahru pada 15 Mei.

Menurut peguam Jimmy Puah, yang juga ADUN Bukit Batu, Yuneswaran mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.

Di Pahang, setiausaha PKR negeri Kamarulzaman Md Yunus turut didakwa, juga mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman atas perhimpunan yang berlangsung di Kuantan.

Kamarulzaman mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris di Mahkamah Sesyen Kuantan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes tersebut akan disebut pada 27 Jun.

[Baca berita penuh]

ADS