Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Undang-undang Islam boleh ganti ISA, EO'
Diterbitkan:  Aug 2, 2013 5:25 AM
Dikemaskini: Aug 2, 2013 7:25 AM

Undang-undang Islam boleh menggantikan kekosongan akibat penghapusan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang dikatakan punca meningkatnya kadar jenayah akhir-akhir ini, kata Pemuda PAS.

NONE Ketuanya Nasrudin Hassan (kiri) berkata, setelah sekian lama negara ini menggunakan "undang-undang ciptaan manusia", gejala jenayah terbukti bukan sahaja tidak menurun, bahkan semakin parah.

"Undang-undang Allah ada keberkatan, (ia mekanisme) tegah dan kawal daripada Allah SWT yang selama ini hilang dari perlaksanaan undang-undang negara kita dan akhirnya jenayah tidak pernah surut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan lanjut cadangnya sebelum ini yang menggesa undang-undang syariah digunakan bagi membanteras jenayah, daripada aspek mekanisme dan kaedah pelaksanaannya.

Anggota Parlimen Temerloh itu pada 31 Julai lalu berkata, jika negara buntu dan pihak berkuasa mati kutu menangani jenayah yang meningkat mendadak, undang-undang syariat Islam mesti dikuatkuasakan sebagai alternatif dari "kegagalan teruk" sistem sedia ada.

Beliau berkata, undang-undang itu bukan sahaja dapat membanteras jenayah, tetapi juga memastikan keadilan kepada semua kaum, terutamanya kepada mangsa jenayah.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini lewat petang semalam, Nasrudin bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci cadangannya tetapi membayangkannya dalam bentuk "akta baru" bagi menggantikan ISA dan EO.

Kenyataan beliau itu disambut baik oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang mencadangkan ia harus turut diguna pakai kepada orang bukan Islam melalui penyatuan sistem sivil dan syariah di negara ini.

Bagaimanapun, peguam dan aktivis perlembagaan Syahredzan Johan berpendapat, cadangan itu jika dilaksanakan tidak akan menyelesaikan masalah kerana kegiatan jenayah bukan disebabkan undang-undang tetapi kegagalan pelaksanaan pihak polis.

Menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara sekular, beliau berhujah, undang-undang syariah sedia ada terbatas kerana bergantung pada undang-undang negeri dan tertakluk ke atas umat Islam sahaja.

ADS