Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'jaya: Tarif naik kerana kos janakuasa, selenggara

Suruhanjaya Tenaga menjelaskan bahawa peningkatan tarif elektrik yang diumumkan perdana menteri awal bulan ini adalah untuk menampung kos penyelengaraan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dan kos janakuasa tenaga dari bahan api.

Ketua pegawai eksekutif suruhanjaya itu Datuk Ahmad Fauzi Hasan dalam ucapannya hari ini menjelaskan, kos penyelenggaraan itu turut melibatkan kerosakan yang banyak berlaku di janakuasa dan juga ke atas masalah ketidaklancaran sistem.

Masalah berkenaan dikesan banyak berlaku sejak tiga tahun lalu, katanya yang menambah, kenaikan kadar itu juga bagi membendung kenaikan inflasi.

"Kita juga mengalami masalah pembekalan gas yang tidak cukup untuk menampung keperluan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia.

"(Bagi membendung) inflasi, kos penyelenggaraan dan kos tenaga kerja, kita terpaksa menaikkan harga tarif kita.

"Dalam mekanisme kenaikan tarif ini menggunakan kawal selia berasaskan insentif.

"TNB diberi tempoh satu tahun untuk membuat penyelenggaraan, untuk (kenaikan tarif) kali ini dalam tempoh empat tahun takkan ada kenaikan tarif lagi kalau kita berasaskan rangka kerja ini," katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan satu majlis penerangan berhubung isu penetapan tarif elektrik di semenanjung Malaysia di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau juga menegaskan kenaikan tarif hanya 2.6 peratus sahaja berbanding tarif elektrik sedia ada iaitu 33.54 sen seunit, katanya yang berkata suruhanjaya itu turut mengambil kira soal kenaikan kadar inflasi setiap tahun.

Ahmad Fauzi juga berkata, suruhanjaya itu tidak dapat menjamin sekiranya akan berlaku kenaikan tarif tenaga elektrik pada masa depan kerana perkara itu turut berkait dengan harga bahan api.

“Tapi apa yang kita jangkakan (kenaikan) tidak banyak dan kemungkinan harga (bahan api) akan menurun pada masa akan datang.

“Mengikut perancangan kerajaan kita akan kaji semula harga gas yang dibekalkan kerajaan pusat.

“Tapi tidak akan ada kenaikan yang kita sebut kenaikan bestari. Kita berharap pada masa depan dengan pengurangan subsidi, defisit negara akan dapat diatasi pada 2020,” katanya.

Dalam sidang medianya selepas itu, beliau berkata suruhanjaya yang bertindak sebagai agensi kawal selia TNB akan turut mengkaji kecekapan TNB setelah kenaikan tarif itu berkuatkuasa Januari 2014.

“Kita mengkaji kecekapan operasi TNB dari segi komersial dan teknikal. Suruhanjaya Tenaga memastikan laporan lebih rapi tahun depan,” katanya lagi.

ADS