Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan merampas naskhah Bible versi Bahasa Melayu tentu akan mengundang pelbagai reaksi dari masyarakat Muslim dan Kristian di negara ini.

Tindakan ini tentunya telah dijangka oleh JAIS sebelum tindakan itu dilakukan.

Serangan pelbagai pihak kepada para pegawai JAIS tidak dapat dielak, dan yang terkena ialah pelaksana keputusan tetapi tidak pada mereka yang membuat keputusan.

Ternyata ia sangat tidak adil bagi pegawai JAIS yang hanya melaksana keputusan yang telah diputuskan.

Dan mereka yang membuat keputusan terus ghaib daripada kontroversi yang ditimbulkan, bahkah kerajaan Selangor sendiri pun tidak tahu mengenai serbuan tersebut sehingga dimaklumkan.

Kebimbangan pemerintah bagi mengawal umat Islam dari gejala murtad harus dipuji dan diberi penghargaan.

Bahkan, memang ia adalah sebahagian tanggungjawab pemerintahan dalam Islam iaitu memelihara akidah umat Islam.

Isu utama ialah larangan yang dikenakan kepada bukan Muslim untuk menggunakan beberapa istilah yang terpakai bagi orang Islam seperti kalimah Allah, Insya-Allah, Masya-Allah, zikir, dan sembahyang.

Peraturan aneh

Beberapa kalimah ini menjadi hak milik bagi orang Islam sahaja. Memang aneh dan pelik bahkan mungkin Malaysia satu-satunya negara yang melaksanakan peraturan tersebut.

Kenapa dilarang kepada bukan Muslim untuk menggunakan kalimah tersebut?

Jawapannya kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan salah faham, kekeliruan dan akhirnya boleh menyebabkan penganut Islam negara ini terpengaruh dan akhirnya keluar dari Islam dan menganut agama lain.

Ini kerana anggapan sama sahaja agama-agama yang lain kerana penggunaan istilah-istilah tersebut.

Namun persoalan utama apakah akidah umat Islam di negara ini begitu rapuh, sehingga kerana beberapa istilah tersebut boleh membawa kepada murtad?

Jika benar, maka kerajaan mesti memperkukuhkan akidah umat Islam dan bukannya dengan menyekat penggunaan istilah Islam di kalangan bukan Islam.

Adalah mustahil kerajaan dapat mengawal penggunaan istilah-istilah tersebut, terutama dalam perkembangan media baru yang pelbagai variasi.

Sesiapa boleh sahaja menulis, menyebar dan menyalur maklumat dakyah mereka.

Persoalan yang lebih utama ialah apakah usaha kerajaan untuk memperkasakan akidah umat Islam.

Lebih politik dari akidah

Kenapa mata pelajaran akidah Islam tidak diwajibkan dalam seluruh sistem pendidikan Islam dari tadika sehingga universiti?

Mengapa mata pelajaran lain dilihat lebih penting dari akidah umat sehingga menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan utama tetapi tidak mata pelajaran Islam?

Berapa jam diperuntukkan masa untuk pendidikan akidah? Berapa banyak pula masjid yang berfungsi dengan baik dengan pengajaran akidah di kalangan para jamah?

Lebih hairan kalimah tersebut bahkan terjemahan Bible dengan menggunakan kalimah Allah dibenarkan di Sabah dan Serawak, tetapi tidak dibenarkan di semenanjung.

Kalau isu Allah ialah isu akidah, ia sepatutnya selaras kesemua negeri, bukan terpilih ada yang dibenar dan ada negeri yang dilarang. Oleh itu, isu Allah ini lebih bersifat politik dari memperkasakan akidah.

Jika betul isunya berkaitan dengan akidah, apakah kerajaan hanya jaga Islam di semenanjung, dan berapa ramai umat Islam Sabah dan Serawak yang murtad kerana isu ini?

Dalam suasana tekanan ekonomi rakyat dan bebanan yang dihadapi, tidak hairan kalau ada pihak yang menganggap tindakan ini sebagai suatu eskapisme dari isu sebenar.

Tindakan mengalih satu isu kepada isu lain adalah strategik biasa di kebanyakan negara yang pemerintah gagal mengemukakan penyelesaian isu rakyat, lalu dicipta isu lain bagi mengalih perhatian dari isu sebenar.

Semua pihak diminta lebih cermat menangani isu isu sensitif yang boleh mengundang kegawatan dalam negara. Kita sedar isu agama, perkauman, isu bahasa antara beberapa isu sensitif yang perlu ditangani dengan penuh hemah dan cermat.


TUAN IBRAHIM TUAN MAN naib presiden PAS.

ADS