Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TURUN: 'Terima kasih' PM kerana malukan negara
Diterbitkan:  Jan 15, 2014 1:49 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Kumpulan penentang kenaikan harga barang hari ini mengucapkan 'terima kasih' kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran kenyataannya berhubung penurunan harga kangkung baru-baru ini.

Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) menganggap, ucapan yang “sangat mengaibkan rakyat” itu sama sekali “tidak cerdik”, hasil saranan penasihat yang juga “bukan di kalangan orang yang cerdik”.

“... kami mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memalukan rakyat Malaysia di mata dunia kerana adanya pemimpin negara seperti Datuk Seri (Najib),” kata pengerusinya Muhamad Azan Safar.

Najib pada 12 Januari lalu dilaporkan harga sayur-sayuran, termasuk kangkung, naik dan turun kerana bergantung kepada keadaan dan cuaca.

Perdana menteri juga mengkritik sikap menyalahkan kerajaan apabila harga barangan naik tetapi tidak pula memuji apabila harganya turun, seperti kangkung.

Ucapan itu mengundang kemarahan besar dan menjadi bahan ejekan di alam maya oleh rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan peningkatan kos sara hidup.

Dalam kenyataannya hari ini, Azan berkata, Najib “tidak pernah merasa perit jerih rakyat yang terpaksa membanting tulang untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan seharian”.

Sementara itu, Azan berpendapat ucapan adik perdana menteri Datuk Seri Nazir Razak yang memuji legasi jimat cermat bapa mereka sebenarnya sindiran kepada Najib.

Malah, kata Azan, ia juga tergambar apabila Nazir memetik pepatah Melayu “sesat di hujung pangkalan, kembali ke pangkal jalan".

“(Justeru) perdana menteri Malaysia benar-benar dalam masalah sekarang,” katanya.

ADS