Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu pekebun Musang King: Jangan keruhkan keadaan, kata Wan Rosdy

Keputusan semakan kehakiman difailkan pekebun Musang King di Raub terhadap kerajaan Pahang pada 24 April lalu - yang memihak kepada kerajaan negeri - tidak perlu dipanjangkan, kata Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy turut enggan mengulas lanjut berkaitan keputusan dibuat hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Mohd Radzi Harun itu.

"Jangan keruhkan keadaan," katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan 'Moh Karnival Makmur' di Bera, Pahang.

Turut hadir bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 186 pekebun Musang King untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka sebelum ini.

Selain itu, mahkamah turut menolak semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan Pahang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Wan Rosdy selaku Pengerusi Umno Pahang berkata, Umno Pahang akan membantu jentera parti daripada kerajaan perpaduan sepanjang kempen.

"Ini adalah bagi membalas sokongan diberikan jentera parti Pakatan Harapan (PH) semasa PRK Pelangai tahun lalu.

"Mereka bekerja kuat membantu kita dalam memastikan kemenangan calon kita, jadi giliran kita pula akan bantu mereka di sana," katanya yang juga naib presiden Umno.

Kempen PRK Kuala Kubu Bharu yang bermula hari ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon PH, PN, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

Perkara itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya, Yuhanas Auree Kamaruddin, di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada empat orang calon bagi pemilihan Dewan Undangan Negeri N06 Kuala Kubu Bharu.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaa,” katanya.

Bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao, dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi itu di pihak PH.

Pang dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut yang mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Lihat Komen
ADS